JUST IN

Kerajaan digesa segera laksana skim subsidi sewa rumah

by | Jul 6, 2021 | National, News | 0 comments

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa kerajaan supaya tidak berlengah lagi merangka usaha khusus dalam mengendalikan masalah kesusahan rakyat untuk membayar sewa rumah terutamanya melibatkan penduduk di kawasan perumahan awam dan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Biro Perumahan PSM, Karthiges Rajamanickam berkata, isu penyewa swasta iaitu mereka yang menyewa rumah kediaman daripada pihak ketiga (swasta) adalah isu khusus yang jarang dibawa bincang oleh semua pihak.

“Ramai penyewa rumah persendirian tidak lagi mampu untuk membayar sewa rumah sejak gelombang tiga pandemik ini menyerang kita.

“Pada ketika, ada pemilik rumah yang bertolak ansur, namun beberapa  sudah mengambil keputusan untuk mengusir mereka yang tidak mampu bayar sewa. Apakah solusinya?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, menurutnya pihak PSM telah mengesyorkan beberapa langkah yang perlu dilaksanakan seperti mengisytiharkan bahawa pengusiran daripada rumah pendiaman tidak dibenarkan untuk satu tahun yang akan datang.

“Jika tuan rumah dan penyewa tidak dapat menyelesaikan masalah mereka melalui perbincangan masalah mereka harus dibawa ke sebuah Tribunal Sewa Rumah khas.

“Selain itu, kerajaan juga harus menubuhkan Tribunal Perumahan yang dianggotai oleh pegawai Kerajaan Tempatan serta beberapa wakil daripada penduduk setempat di setiap daerah untuk mengendalikan isu penyewa rumah swasta yang tidak mampu bayar sewa buat masa ini.

“Langkah ini adalah selaras dengan Akta 829 Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020; Seksen 9 (Pengantaraan) yang antara lainnya menyatakan ‘Apa-apa pertikaian dengan apa-apa ketidakupayaan mana-mana pihak melakukan apa-apa obligasi kontraktual boleh diselesaikan melalui pengantaraan’,” katanya.

Jelas Rajamanickam, tribunal tersebut harus diberi kuasa untuk memanggil pihak penyewa dan pemilik rumah untuk melakukan satu perundingan dan memutuskan sama ada bayaran sewa harus dikurangkan, ataupun dimansuhkan, untuk satu tempoh masa tertentu.

“Jumlah subsidi yang harus dibayar oleh kerajaan kepada tuan rumah pula harus didasarkan pada status kewangan tuan rumah di mana seorang tuan rumah yang hanya menyewa sebuah rumah harus dibayar subsidi yang lebih.

“Mungkin 50 peratus jumlah sewa, manakala seorang tuan rumah dengan lima buah rumah yang disewa boleh dibayar subsidi yang lebih kecil,” ujarnya.

Tambahnya lagi, tribunal-tribunal ini harus memperuntukkan dana untuk membayar subsidi kepada pemilik rumah.

“PSM menggesa suatu skim Subsidi Sewa ini dilaksanakan secepat mungkin kerana beratusan keluarga di seluruh negara sedang diancam oleh pengusiran dari rumah yang didiami mereka.

“Bukan salah keluarga yang terlibat, tetapi pandemik serta Perintah Kawalan Pergerakan adalah punca masalah ini.

“Pengusiran dari rumah yang didiami mereka akan menambahkan kesusahan mereka dan membawa kesan negatif terhadap pemakanan dan kesihatan ahli keluarga dan menjejaskan lagi pendidikan kanak-kanak dalam keluarga terlibat,” katanya. 

-THE MALAYSIA VOICE

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES