JUST IN

Maafkan cikgu, wahai ibu dan ayah

by | Jun 29, 2021 | Opinions | 0 comments

FOTO: Nurul Ilani Ilham

OLEH: CIKGU ZAHRAN

Sedih hati kami melihat ibu bapa tertekan. Marah marah. Ada yang koyak buku. Ada yang bengang dengan cikgu. Ada yang kata macam macam.

Cikgu juga tertekan. Namun demi anak anak didik, kami pendamkan. Kami cuba untuk menghela nafas panjang. Membuang segala duka dan penat. Agar anak anak masih berusaha untuk menggali ilmu.

Sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) ini banyak dugaannya. Bila tak dapat bertemu muka dengan anak didik, hati tidak puas. Mengajar di dalam talian. Kadangkala kekok. Kadang-kadang terganggu.

Kenapa cikgu asyik bagi ‘link’ itu, ‘link’ ini. Video orang lain. Ya. PdPR itu bukan sekadar ‘online’. Ada ‘offline’. Sedangkan ‘online’ sekali sehari pun ramai yang naik gila. Bayangkan anak-anak ber’online’ sepanjang hari.

Bukan semua guru mahir membuat suntingan video. Bukan semua doktor pandai melukis anatomi tubuh manusia. Dan bukan semua jurutera boleh membancuh simen. Bila jadi cikgu, kena mahir serba-serbi.

Guru kena hantar maklumat setiap hari. Berapa murid belajar berapa yang tak hantar kerja. Kenapa murid tak belajar. Apa tindakan cikgu. Sebab itu kerja rumah nampak berlambak. Kalau tidak diberi, nanti cikgu dikata tak bekerja. Makan gaji  buta.

Ada cikgu yang melukis di lantai, memandu kereta dan mengajar di tepi jalan. Ada yang termanggu sendirian menanti murid. Ada guru mengadu penat dan tertekan. Tetapi ramai berkata guru sudah dibayar. Jadi kita perlu pendamkan sahaja semuanya.

Ibu bapa yang memantau anak-anak dirumah sudah hilang sabar. Mula marah cikgu. Mula kata macam-macam. Tak apalah. Kami minta maaf. Kami tidak minta ini semua. Kami pun mahu ianya segera berakhir.

Tapi kami guru tidak boleh. Kerana kami dibayar. Lantas kami utamakan dulu anak kalian. Anak kami biarlah dulu. Kami kena kuat. Kami tidak boleh meluahkan. Kami perlu bersedia dari malam, melayan segala macam mesej hingga dinihari, menghadiri webinar, menjadi ‘admin group’, menggunakan peralatan dan data sendiri. Dalam masa yang sama kami juga seorang ibu dan bapa.

Tapi kami kena redha kerana kami dibayar kata ibu dan ayah.

Tapi banyak dari bayaran itu kami gunakan untuk anak-anak kalian semula.

Ya. Kami dibayar. Lantas kami kena telan dan hadap. Tanpa berpeluang untuk berkata apa-apa.

-THE MALAYSIA VOICE

(Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES