JUST IN

KP Kesihatan tegur majikan degil ingkar SOP

by | Jun 17, 2021 | Business, HUMAN RESOURCES, NATIONAL, NEWS | 0 comments

KREDIT FOTO: Facebook KKM

Langkah Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memperkenalkan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19 melibatkan semua golongan sejak lebih setahun lalu nampaknya masih dianggap remeh bagi sesetengah pihak.

Ketika seluruh masyarakat berperang bersungguh-sungguh mahu menamatkan segera pandemik di negara ini, namun sayang sekali apabila masih ramai yang berdegil dan bersikap sambil lewa seolah-olah terlalu selesa menganggap virus pembunuh ini hanya perkara biasa dan tiada nilai pada nyawa.

Buktinya, bilangan kluster tempat kerja sebagai penyumbang kluster terbesar jangkitan Covid-19 di Malaysia terus mencatatkan peningkatan dari hari ke hari.

Graf 1: Trend kluster tempat kerja mengikut minggu epidemiologi bagi tahun 2021

Situasi ini bukan sahaja membimbangkan, malah mendukacitakan kerana walaupun trend kes mingguan menunjukkan penurunan dalam tempoh dua minggu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan, namun kluster-kluster tempat kerja terus menyumbang kepada pertambahan kluster-kluster baharu di Malaysia.

Dalam sidang medianya pada Isnin yang lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mendedahkan sebanyak 1,328 kluster tempat kerja dilaporkan dengan 147,040 individu dikesan positif Covid-19 dalam tempoh dua minggu berkenaan.

“Kebanyakan kes-kes positif yang dilaporkan dalam kategori kluster tempat kerja ini terdiri daripada warga asing iaitu sebanyak 100,086 kes (68 peratus) berbanding warga tempatan iaitu sebanyak 46,954 kes (32 peratus).

Graf 2 : Pecahan jumlah warga tempatan dan warga asing bagi kluster tempat kerja

“Sektor pengilangan melaporkan jumlah kes tertinggi dalam kategori kluster tempat kerja, iaitu sebanyak 95,156 kes melibatkan 639 kluster,” katanya.

Berikutan itu, beliau telah menegur golongan yang bekerja terutamanya majikan untuk lebih bertanggungjawab mematuhi SOP ditetapkan dan bukan sekadar bersungguh-sungguh mengimplementasikannya apabila diadakan operasi pemantauan atau serbuan mengejut.

“Kementerian telah menetapkan pelbagai garis panduan dan SOP di tempat kerja seperti penjarakan fizikal, menghadkan jumlah pekerja yang hadir ke tempat kerja, dan sebagainya.

“Walau bagaimanapun, didapati tahap kesedaran berkenaan kepentingan pelaksanaan SOP tersebut masih perlu dipertingkatkan.

“Masyarakat khususnya majikan dan pekerja-pekerja perlu menyedari bahawa kepatuhan kepada garis panduan adalah untuk kebaikan mereka juga.

“Terdapat juga segelintir masyarakat yang hanya mengambil berat berkenaan pematuhan SOP apabila terdapat penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan. Kelekaan inilah yang banyak mengundang kepada peningkatan kes Covid-19 terutamanya di tempat kerja.

“Justeru, KKM berpendapat penguatkuasaan SOP di tempat kerja wajar dipertingkatkan dalam usaha untuk terus mengekang jangkitan Covid-19 khususnya melibatkan kluster-kluster di tempat kerja,” tegasnya.

-THE MALAYSIA VOICE

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

DO FOLLOW 

OUR CATEGORIES